Friday, November 20, 2009

manyak tinggi lompat maaa..

Wong Mew Choo mendapat tonik terbaik menjelang Sukan SEA bulan depan apabila melakar kejutan terbesar ke atas pemain No. 1 dunia, Wang Yihan untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka China semalam.

Cabaran Malaysia pada suku akhir hari ini turut diteruskan dua pasangan utamanya, beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Walaupun peluang Mew Choo untuk merampas kembali kejuaraan yang dimenangi pada 2007 tetap sukar kerana dijangka berdepan pemain China sepanjang laluan ke final, namun kemenangan ke atas Yihan, juara Seluruh England 2009 hadir tepat pada masanya, ketika Temasya Laos tinggal kurang sebulan lagi.

Malah, dia juga dilihat memiliki kelebihan psikologi ke atas para pencabar utamanya di Laos nanti seperti Maria Kristin dari Indonesia dan Salakjit Ponsana (Thailand), yang masing-masing gagal menembusi pemain China.

Pada ketika Mew Choo hanya memerlukan 36 minit untuk menyingkirkan Yihan 21-18, 21-17, Maria pula kalah mudah 13-21, 13-21 di tangan pemain bukan pilihan dari China, Wang Shixian.

Shixian kini bakal menjadi pencabar Mew Choo di suku akhir, iaitu pertemuan pertama kedua-dua pemain. Jika Mew Choo menang, dia perlu berdepan dua lagi pemain China, antara pilihan keenam, Jiang Yanjiao atau Shi Xiaoqian.

"Kemenangan ini hadir tepat pada masanya kerana ia boleh meningkatkan keyakinan Mew Choo menjelang Sukan SEA bulan depan, apatah lagi Mew Choo sering tidak konsisten kerana kecederaan. Bagaimanapun saya rasa peluang untuk dia mengulangi pencapaian muncul juara pada 2007 masih tidak mudah. Ada ramai lagi pemain China menanti sepanjang jalan, mereka memiliki ramai pemain yang sama taraf dan sebaik Yihan.

"Apa pun saya tetap percaya, kemenangan ini mampu memberi kelebihan psikologi kepada Mew Choo ke atas pencabar yang bakal ditemui di Laos nanti, apatah lagi pencabar utamanya seperti Maria Kristin dan Salakjit Ponsana masing-masing kalah kepada pemain China,'' kata ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek.

Sementara itu Kien Keat-Boon Heong mara ke suku akhir selepas menundukkan beregu muda Denmark, Henriksen Kasper Faust-Anders Kristiansen 21-15, 21-18. Kemenangan itu bakal menemukan mereka dengan Cho Gun Woo-Shin Baek Cheol dari Korea.

Pei Tty-Eei Hui pula dipaksa berhempas pulas ketika menyingkirkan pasangan Taiwan, Cheng Wen Hsing-Tsai Pei Ling 21-13, 19-21, 21-14 untuk berdepan satu lagi beregu negara itu, Chien Yu Chin-Wang Pei Rong.

Cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki berakhir selepas pemain veteran, Wong Choong Hann kalah kepada jaguh Korea Selatan, Park Shung Hwan 23-21, 18-21, 13-21 dalam pertarungan sengit.

Turut tersingkir, beregu campuran, Kien Keat-Pei Tty yang tunduk kepada pasangan China, Zhang Nan-Zhao Yunlei 16-21, 15-21.bernama

No comments:

Post a Comment

TEMAN SINGGAH

YANG DATANG