Friday, September 11, 2009

DPP Bantah bina Masjid

COPENHAGEN - Parti Rakyat Denmark (DPP) yang menjadi sekutu utama kerajaan melancarkan kempen membantah pembinaan masjid pertama di negara ini selepas majlis bandar raya Copenhagen meluluskan penubuhan rumah ibadat itu.

Iklan yang disiarkan di beberapa akhbar harian Denmark itu mendakwa dana untuk masjid baru tersebut diperoleh daripada Iran dan Arab Saudi.

Paparan iklan itu turut memuatkan gambar Masjid Biru di Istanbul dengan montaj foto dua pedang di atas kubah.

DPP mendakwa kempen yang dilancarkannya adalah untuk pilihan raya perbandaran pada 17 November nanti.

Masjid baru Copenhagen yang diluluskan pada hujung bulan lalu akan dibina oleh komuniti Islam Syiah di atas tapak bekas kilang.

Kubah setinggi 24 meter akan menjadi bumbung kepada bangunan masjid seluas 2,000 meter persegi dengan dua menara setinggi 32 meter didirikan di barat laut Copenhagen.

Namun, azan tidak dibenarkan dilaungkan dari menara itu supaya tidak mengganggu kawasan kejiranan di sekitar masjid tersebut.

Hubungan Denmark dan dunia Islam tegang sejak sebuah akhbar negara ini menyiarkan kartun yang menggambarkan wajah Nabi Muhammad SAW pada 2005.

Tindakan biadab itu mencetuskan kemarahan dan protes besar-besaran daripada umat Islam di seluruh dunia.

Denmark didiami 200,000 penganut Islam yang membentuk 3.5 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduknya.

No comments:

Post a Comment

TEMAN SINGGAH

YANG DATANG