Sultan Idris al-Mutawakkil Alallah Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasaullah (31 Januari 1924 - 31 Januari 1984) ialah sultan Perak yang memerintah selama 21 tahun antara 4 Januari 1963 hingga 31 Januari 1984.
Sultan Idris ialah putera kedua kepada Sultan Iskandar Shah (Marhum Kaddasallah) dan Raja Teh Umi Kalsum bte Raja Muhamad Iskandar. Kekanda sulungnya meninggal dunia ketika hanya berumur 40 hari.
Pada 3 Januari 1931, Idris menyertai Sekolah Melayu Bukit Chandan dan kemudiannya pada 1932, bersekolah di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar. Beliau dilantik sebagai Raja Di Hilir Perak pada tahun 1934 ketika berumur 10 tahun untuk menggantikan Raja Sir Chulan. Pada 17 Oktober 1938, Raja Idris dilantik sebagai Raja Bendahara Perak. Ketika itu, sultan Perak ialah Sultan Abdul Aziz Al Muk`tassim Billah Shah.
Raja Idris melanjutkan pendidikannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 12 Disember 1938 tetapi pelajarannya terganggu apabila Jepun menyerang Tanah Melayu pada 1941 semasa Perang Dunia II. Beliau menyertai pasukan Giyutai, sebuah pasukan pertahanan yang ditaja oleh tentera Jepun tetapi secara sulit, berhubung dengan pasukan gerila Force 136 yang dipimpin oleh Kolonel Dobree untuk menentangnya.
Pada tahun 1943 semasa pendudukan Jepun, Raja Idris berkahwin dengan Raja Muzwin binti Raja Ariff Shah dan dikurniakan dua orang putera dan tiga orang puteri. Raja Idris bertugas di Pejabat Tanah, Kuala Kangsar sebagai Penolong Pemungut Cukai Hasil Tanah antara tahun-tahun 1943-1945, dan seterusnya ditempatkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Apabila Sultan Abdul Aziz mangkat pada tahun 1948, Sultan Izuddin Shah ditabal menjadi Sultan Perak. Raja Idris dilantik sebagai Raja Muda Perak yang bersemayam di Teluk Intan. Pada tahun 1949, beliau ke England untuk menyertai kursus Kerajaan Tempatan, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Agraria di Universiti London.
Sekembalinya ke Perak pada tahun 1951, Raja Idris menyertai pasukan Angkatan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan ditauliah pangkat Leftenan. Beliau turut menerima latihan ketenteraan di Port Dickson, bersama-sama pasukan Askar Melayu dan kemudiannya, dinaikkan pangkat menjadi Mejar. Raja Idris turut serta memberi semangat kepada seluruh rakyat di Hulu Perak agar tidak tertipu dengan dakyah komunis.
Naik takhta
Idris dilantik sebagai pemangku Sultan Perak antara tahun-tahun 1954-1956, tatkala Sultan Yusuf Izzudin Shah berangkat ke England untuk mengunjungi seluruh Eropah. Pada 4 Januari 1963, Sultan Yusuf Izzuddin Shah mangkat di Bukit Chandan ketika berumur 73 tahun, dan Raja Idris, Raja Muda Perak, menjadi Sultan Perak pada 6 Januari 1963 ketika berumur 39 tahun, dengan gelaran Sultan Idris al-Mutawakkil Alallah Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasaullah. Raja Muzwin ditabal sebagai Raja Perempuan Perak.
Sultan Idris amat minat akan muzik dan telah menghidupkan RIS Combo. Baginda minat juga akan memelihara pokok bunga, seni foto, sejarah negeri Perak dan sukan lumba kuda.
Pada 4 Ogos 1976, Sultan Idris merasmikan Kampung Ganda Temenggor, berikutan pembinaan Empangan Temenggor yang menenggelamkan kampung yang lama. Stesen Janakuasa Hidroelektrik Temenggor dirasmikan oleh Sultan Idris pada 19 September 1979. Pada tahun 1980, nama Sekolah Menengah Dato Maharaja Lela Kampung Gajah ditukarkan menjadi Sekolah Menengah Dato Seri Maharaja Lela (SMDSML) semasa baginda mengunjungi Kampung Gajah.
Pada 11 Jun 1983, bot Seri Andalan, sebuah bot mewah milik Sultan Idris, dilancarkan di Pelabuhan Lumut, Perak. Dalam kebanyakan lawatannya, baginda mengenakan pakaian tentera berceloreng, dilengkapi dengan pistol di pinggang.
Sultan Idris mangkat pada tahun 1984 di Lumut Perak dan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar.
No comments:
Post a Comment