Wednesday, February 17, 2010

lim dah bersedia berdepan zahrain

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, beliau sedia berdepan dengan tindakan undang-undang setelah mengaitkan ahli keluarga bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim dalam urusan mendapatkan tender bernilai RM40 juta bagi mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort.

Lim berkata, beliau mempunyai bukti yang cukup bagi menghadapi segala tuduhan Zahrain yang tidak berpuas hati kerana didakwa oleh Lim gagal mendapatkan tender bagi syarikat yang baru dua bulan ditubuhkan sebelum tender projek itu dikeluarkan iaitu pada akhir September 2008.

"Semua ini terpulang kepada Zahrain sama ada hendak saman atau tidak. Kita mempunyai cukup bukti berhubung perkara ini. Kita juga sedia ambil risiko demi sebuah kerajaan yang bersih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Zahrain yang akan mengambil tindakan undang-undang kerana mengaitkan ahli keluarganya dalam urusan mendapatkan tender bernilai RM40 juta itu.

Zahrain telah pun mengisytiharkan keluar dari PKR dan menjadi Ahli Parlimen bebas mewakili kawasan Bayan Baru.

Sementara itu, mengulas mengenai permintaan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Azhar Ibrahim supaya Lim mengeluarkan minit mesyuarat bagi acara sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang bakal disambut nanti, Lim berkata, perkara itu perlu diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Agama Islam, Abdul Malik Abdul Kassim.

Azhar mendakwa terlalu banyak kekeliruan berlaku berhubung sambutan itu terutama bagi acara perarakan.

Lim memberitahu pemberita bahawa acara perarakan pada sambutan itu akan tetap diadakan.

Lim menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP negeri di Dewan Perniagaan Cina di sini yang turut dihadiri pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy dan exco-exco kerajaan negeri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

TEMAN SINGGAH

YANG DATANG