Thursday, January 14, 2010

bantu janda...

Bazar Amal Beri Peluang Kepada Persatuan-Persatuan Ibu Tunggal Untuk Berdikari

Keadaan bazar amal di kompleks membeli-belah Great Eastern, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.-Foto THE STAR oleh CHUA KOK HWA

BERBEZA dari bazar-bazar lain, bazar amal anjuran Soroptimist Antarabangsa cawangan Ampang, akan menyalurkan keseluruhan sewa yang dikutip dari penyewa-penyewa ruang niaga untuk membantu ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim.

Bazar tersebut, anjuran persatuan bukan kerajaan (NGO) yang membantu meningkatkan tahap hidup golongan wanita serata dunia itu diadakan pada 9 dan 10 Januari ini di kompleks membeli-belah Great Eastern, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Keadaan bazar pada semalam memang sibuk dan dipenuhi pengunjung dari dalam dan luar negara. Kebanyakan daripada mereka adalah penduduk sekitar kawasan perumahan rasmi duta-duta negara lain ke Malaysia, yang terletak berhampiran kompleks itu.

Antara barangan yang dijual di bazar itu adalah pakaian, pelbagai aksesori wanita dalam warna-warna terang mengikut aliran terkini dan bermacam-macam jenis makanan seperti kek serta biskut.

Menurut Presiden Kelab Soroptimist Cawangan Ampang, Tengku Loreta Tengku Datuk Setia Ramli, terdapat 46 ruangan niaga yang disewakan sempana bazar amal itu.

“Pihak pengurusan kompleks membeli-belah Great Eastern telah membenarkan kami menggunakan kawasan ‘Concourse’ mereka secara percuma untuk menganjurkan bazar amal ini setiap tahun selama empat tahun berturut-turut.

“Selain dapat mengumpulkan dana untuk membiayai program-program kebajikan, bazar ini juga mempromosikan produk peniaga-peniaga kecil,” katanya.

Tambahnya, bazar amal tersebut merupakan aktiviti tahunan Kelab Soroptimist dan setiap tahun, hasilnya akan digunakan untuk menampung kos aktiviti-aktiviti kebajikannya.

Keadaan bazar amal di kompleks membeli-belah Great Eastern, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.-Foto THE STAR oleh CHUA KOK HWA

“Sebahagian daripada wang berjumlah RM18,000 itu akan dibelanjakan untuk membantu ibu-ibu tunggal di sekitar Lembah Kelang membeli barang-barang keperluan sekolah anak-anak mereka.

“Bakinya akan digunakan untuk memotong rambut ibu-ibu tunggal dengan kerjasama pedandan rambut profesional untuk menggembirakan mereka,” kata beliau dalam satu temu bual bersamanya di bazar amal itu hari ini.

Sementara itu, menariknya mengenai bazar ini adalah beberapa ruang niaga ditawarkan secara percuma untuk persatuan-persatuan ibu tunggal menjalankan aktiviti perniagaan.

Antaranya ialah Badan Amal Kasih Sayang Malaysia (Bakasa) yang menjual barangan ‘bundle’ berjenama pada harga berpatutan.

Menurut sukarelawan badan amal tersebut, Hayzah Hassan, bazar tersebut memberikan peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan sampingan.

“Hasil jualan daripada bazar ini sedikit sebanyak dapat menampung kos aktiviti-aktiviti yang kami jalankan.

“Kami berterima kasih kepada pihak penganjur untuk peluang ini agar kami mampu berdikari tanpa hanya mengharapkan ehsan orang lain sepanjang masa,” katanya.

Tambahnya, sambutan daripada orang ramai agak menggalakkan walaupun bazar amal tersebut baru dibuka pada awal pagi tadi.

Selain itu, seorang lagi sukarelawan yang membantu menjual barang-barang spa di ruang niaga Persatuan Ibu Tunggal Hulu Kelang ialah Scalli Chan, yang juga merupakan seorang ibu tunggal.

Chan yang bercerai dengan suaminya setelah mendirikan rumah tangga selama 26 tahun ini bekerja sebagai seorang guru urut spa.

“Saya menolong pelajar-pelajar saya mendapatkan wang saku sampingan. Ini adalah kerana kesemua sukarelawan yang menjual barangan spa di ruangan niaga persatuan itu adalah ibu tunggal.

“Produk-produk spa yang dijual di bazar tersebut dibeli dengan dengan potongan harga, terus daripada pembekal.

“Oleh itu, kami dapat menawarkan diskaun sehingga 50 peratus untuk produk-produk spa itu,” ujar Chan.

Dalam pada itu, terdapat kira-kira 25 pelajar ibu tunggal yang ditaja oleh Jabatan Pembangunan Wanita, dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia untuk belajar di Akademi Spa Energy. Chan bekerja sebagai tenaga pelatih di spa tersebut.

“Terdapat ramai ibu tunggal yang memerlukan kemahiran sebegini untuk menampung keluarga mereka.

“Penglibatan mereka dalam bazar amal ini dapat mengembangkan kemahiran komunikasi mereka. Dan secara tidak langsung, ini juga dapat memberikan mereka peluang mengenal lebih orang ramai yang mungkin akan menjadi pelanggan mereka kelak,” kata Chan.mstar

No comments:

Post a Comment

TEMAN SINGGAH

YANG DATANG