Thursday, February 11, 2010

polis guna facebook ?

Polis Pulau Pinang akan menggunakan laman web sosial Facebook dalam usaha menjalin hubungan dengan orang ramai bagi memerangi jenayah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata laman web Facebook itu adalah langkah alternatif pihaknya dalam meningkatkan komunikasi dengan orang awam untuk membanteras jenayah.

"Orang awam memainkan peranan penting dalam memerangi jenayah dan kita seharusnya berkongsi tanggungjawab untuk memastikan keselamatan di kawasan sekeliling kita," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen negeri dan agensi lain yang berkaitan.

"Kami harap dengan adanya rangkaian sosial itu akan membolehkan lebih ramai yang tampil untuk menjadi mata dan telinga polis," katanya.

Ayub berkata, Pulau Pinang dikenalpasti sebagai satu daripada empat kawasan panas dan pihaknya mensasarkan untuk mengurangkan 20 peratus jenayah jalanan menjelang akhir tahun ini.

"Sejak sebulan lalu, kami berjaya mencatat penurunan 15 peratus kadar jenayah berbanding Januari tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, kewujudan polis di bawah kempen "Ops Payung" berhasil mengurangkan kadar jenayah dan kebimbangan orang awam terhadap kemungkinan berlakunya jenayah di kebanyakan daerah di negeri ini.
- Bernama

No comments:

Post a Comment

TEMAN SINGGAH

YANG DATANG